Friday, November 26, 2010

:: maaf ::

                                                                  Copy of Kartun_005
“MAAFKAN saya”, ungkapan yang dinisbahkan kepada manusia dalam memohon maaf sesama manusia. Ia cukup berat diucapkan kecuali menjelang hari raya. “Ya Allah! Ampunkanlah dosaku” suatu lafaz menjadi kelaziman seharian memohon keampunan Allah. Pepatah Melayu menyatakan, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Perumpamaan yang menyatakan persoalan, pasti semua orang ada jawapannya. Begitulah kehidupan manusia, terpalit dan dipalit dosa, kecil mahupun besar.
Apa itu makna kata maaf? Apakah hanya sebuah ucapan yang mudah meluncur dari mulut setiap kita melakukan kesalahan? Atau, sebuah penyesalan yang mendalam atas kesalahan yang harus kita tunaikan dengan tulus dan ikhlas? Umumnya, kita sering mendengar kata ini baik dalam kehidupan sehari-hari ataupun dalam suatu media. Sebuah kata yang cukup simple, tetapi sangatlah bererti dalam hidup ini. Kerana tanpa “maaf”, beberapa masalah khususnya masalah-masalah sosial atau peribadi di antara sesama makhluk Tuhan, atau masalah antara manusia dengan Sang Pencipta, mungkin saja tidak selesai dan hukumannya akan berlaku nanti.
Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada melakukan dosa sama ada sesama makhluk atau dengan Allah. Seandainya kita berdosa kepada Allah SWT hendaklah kita meminta ampunnya kepada Allah SWT, Sedangkan dosa terhadap sesama manusia, menyelesaikannya adalah dengan meminta maaf dan redhanya dari orang yang kita berdosa kepadanya. Sedangkan dosa kepada haiwan adalah dengan menyesalinya, serta ditebus dengan perbuatan baik.
Seperti dikisahkan didalam satu hadis Rasulullah SAW : “Barangsiapa yang mempunyai kezaliman kepada saudaranya mengenai hartanya atau kehormatannya, maka diminta dihalalkanlah kepadanya dari dosanya itu sebelum datang hari dimana nanti tidak ada dinar dan dirham (hari kiamat), dimana akan diambil dari pahala amal kebaikannya untuk membayarnya. Kalau sudah tak ada lagi amal kebaikannya, maka akan diambil dari dosa orang yang teraniaya itu lalu dipikulkan kepada orang yang menganiaya itu ” (HR. Imam Bukhari).
seluasan keampunan Allah dan rahmat-Nya meliputi seluruh dosa orang bertaubat. Perkara itu dirakamkan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga yang maha pengampun, lagi maha mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53)
Imam Nawawi dalam kitabnya Riadhus Solihin menyatakan ulama berpendapat bertaubat daripada setiap dosa yang dilakukan hukumnya wajib. Jika dosa itu berkaitan dengan Khaliq (Allah) dan dengan manusia. Ia terangkum dengan empat syarat taubat utama iaitu:

1. Berhenti daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah.
2. Menyesali perbuatan yang sudah dilakukan.
3. Berazam tidak mengulangi perbuatan itu selama-lamanya.
4. Jika dosa itu berkaitan dengan manusia perlu diselesaikan seperti mengembalikan harta diambil dengan cara salah kepada tuannya. Jika barang sudah hilang atau habis digunakan perlu diminta halal daripada tuannya. Jika menuduh atau memfitnah wajar memohon maaf atas segala perbuatan.
Nilai kemaafan bagi setiap mukmin di sisi Allah dengan keutamaan kepada orang yang bertaubat kepada-Nya ialah darjat tertinggi iaitu kasih sayang Allah Tuhan semesta alam. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri.” (Surah al-Baqarah, ayat 222)
* “Berbuatlah Sekarang Juga dan Jadikan Hari ini harus lebih baik daripada kelmarin, dan berusahalah menjadikan hari esok akan lebih baik dari hari Ini walaupun sebenarnya hari esok adalah rahasia Ilahi. Beribadahlah hari ini seolah-olah kau akan mati esok.” *

2 comments:

Related Posts with Thumbnails